Chapter 1
Wajah di cermin ditatap. Rambut pendek separas leher disikat rapi. Topi hitam putih bercorak abstrak dengan perkataan Converse di bahagian hadapan topi, di penjuru katil dicapai dan disarung ke kepala. Dia senyum sekilas. Jam di dinding bertentangan katil bujangnya ditoleh. 7 pagi. Ada lagi 15 minit sebelum masa yang dijanjikan. Berpuas hati dengan penampilan diri, beg sandang Nike di atas katil dibawa ke bahu sebelah kanan. Kakinya terus melangkah keluar. Pintu dikunci dari dalam. Label "DON'T DISTURB" di pintu diganti dengan label "OUT".
Kakinya melangkah menuruni tangga menuju terus ke pintu utama. Sunyi. Hanya kedengaran bunyi pinggan dan sudu berlaga di dapur. Pastinya Kak Zila orang gaji mereka sedang menyiapkan sarapan. Ayah dan mama semestinya masih tidur. Maklum sahaja, hari minggu. Kalau tidak, pastinya kedua-duanya sibuk menyiapkan diri masing-masing untuk ke pejabat. Niatnya untuk terus keluar tidak jadi apabila mendengarkan namanya dipanggil. Lantas, dia melangkah ke dapur.
"Ir nak keluar?" Azila bertanya lembut.
"A'ah. Macam biasa kak. Dah janji dengan Syaf." Dia senyum.Menampakkan lesung pipit di pipi kanannya.
"Oh. Awalnya dating." Azila ketawa apabila melihatkan wajah di depannya mula kemerahan.
"Ada pulak dating. Tak mainlah dating-dating ni kak. Ir ngan Syaf tu kawan je. Kawan rapat. Erm, Kak Zila masak apa?"
"Nasi lemak dengan sambal kerang. Ir makan eh. Kak Zila siapkan."
"Tak apalah Kak Zila. Ir dah lambat ni. Kesian kat Syaf kena tunggu lama."
"Erm, kalau macam tu Kak Zila tapaukan eh. Nanti boleh makan sekali dengan Syaf. Baru romantik." Azila ketawa. Wajah di hadapannya sudah berubah riak.
"Akak.." Wajahnya mencerut. Geram dengan usikan orang gajinya itu. Azila segera menyiapkan bekalan makanan untuk gadis di hadapannya itu.
"Nah. Jangan lupa ajak Syaf makan sekali tau. Dah sekali makan, nanti mesti dia nak makan lagi. Nanti boleh la Ir tolong masakkan untuk dia." Azila mengusik lagi sambil menyerahkan bungkusan makanan tersebut kepada Irdina.
"Akak ni. Macam la Ir tau masak. Nak goreng telur pun tak pass. Ni kan pulak nak masak nasi lemak. Muntah darah la si Syaf tu kalau makan nasi lemak Ir nanti." Irdina membalas usikan Azila sambil tersengih. Langkah kembali diatur ke muka pintu. Azila berjalan seiringan dengannya. Menemani hingga ke muka pintu.
"Ala... orang kalau dah sayang, dah tak kira semua tu. Tapi kalo Ir nak, akak boleh ajar." Azila masih tidak puas mengusik Irdina. Irdina yang telah pun bersedia dengan basikal di sisinya tersenyum kelat.
"Huhuhu. Tak apa la kak. Terima kasih saja. Sampai kiamat la kot baru Ir rase nak belajar masak. " Mereka ketawa serentak. Sudah sekian lama Irdina tidak seceria itu.
"Ok la Kak Zila. Ir pergi dulu eh. Nanti Syaf mengamuk pulak kalau Ir lambat nanti. Daaa..." Basikal dikayuh perlahan sambil melambai ke arah Azila yang masih setia di muka pintu. Setelah kelibat Irdina hilang dari pandangan, barulah dia kembali ke dapur, meneruskan kerja yang terhenti seketika tadi.
Basikal hitam miliknya dikayuh perlahan menuruni bukit menuju ke tempat perjanjian mereka. Jam di tangan ditoleh sekilas. Alamak! Dia dah lambat. Mesti Syaf mengamuk ni. Dia menggumam sendiri. Kayuhan kian dilajukan.
akan bersambung....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "~ Demi Janji Irdina ~"
Post a Comment